..Mengoptimakan sinergi GERAKAN MAHASISWA ke arah merealisasikan IMPIAN MAHASISWA.. ..dari MAHASISWA untuk MAHASISWA.. ayuh!!! bersama realisasikan misi ::KAMPUS MILIK MAHASISWA::

KALENDAR 2009

Friday, January 30, 2009

Kejatuhan MPP UPM: Kerja Siapa?

Saban hari kita dikhabarkan dengan berita yang menyebabkan penyakit kemurungan dan ketakutan kepada Ahli pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar. Apa yang perlu untuk kita jadikan satu pengajaran yang jelas, ialah akan kegagalan pembawaan agenda yang digariskan oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPM di zaman doktrin mengikut dan tunduk sahaja perkara-perkara dan dasar-dasar yang lebih kepada mengugut dan mengancam Mahasiswa UPM daripada bangkit untuk bersuara. Ugutan buang kolej sering dijadikan hidangan kepada Mahasiswa, namun perkara ini akhirnya berjaya diatasi oleh Pro Mahasiswa UPM.

Banyak perkara sebenarnya yang menjadi persoalan kepada Mahasiswa mengapa perkara yang kecil yang sepatutnya boleh diperjuangkan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, namun seolah-olah perkara ini langsung tidak diambil kisah mahupun tidak kelihatan akan tindakan daripada MPP untuk bertindak dan terus membela nasib penuntut Universiti Putra Malaysia yang kita cintai ini.

Benar, tidak dinafikan Majlis Tertinggi Mahasiswa lebih dikenali berbanding ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Apakah MPP tidak bersikap mesra rakyat, ataupun tidak melakukan apa-apa untuk Mahasiswa UPM. Mengikut pemerhatian, tahap kepimpinan MPP UPM menjunam ke peringkat yang paling bawah di sejak kenaikkan Prof. Azali Mohammad sebagai Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni.
Beberapa serbuan daripada bilik ke bilik tanpa mengira batasan Hak Asasi Manusia, pejuang-pejuang Mahasiswa terus-menerus diancam dengan pelbagai ugutan dan diasak dengan pelbagai soalan di bilik-bilik pengetua kolej kediaman, mahupun di Makamah Universiti secara amnya. Malahan, yang paling membangkitkan kemarahan Mahasiswa apabila tindakan rombongan Prof Azali Mohammad menyerbu kamar-kamar kediaman siswi di kolej-kolej kediaman untuk mendapatkan bukti dan menghapuskan segala gerakan membela nasib Mahasiswa Universiti Putra Malaysia.

Satu perkara yang benar-benar mencabar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Negara Malaysia iaitu Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, apabila tindakan Prof. Azali Mohammad, meluluskan sebuah pogram yang dinamakan sebagai Kursus Pemantapan Kolej yang diadakan di Tiara Beach Resort, Port Dickson pada Tahun lalu, yang bercorakkan doktrinisasi kepada peserta-peserta yang kebanyakkannya adalah pelajar-pelajar junior UPM. Berdasarkan bukti yang sahih, semasa kursus ini dijalankan iaitu bersempena dengan bulan ramadhan, peserta-peserta pogram tidak mendirikan solat terawih kerana terpaksa mengikuti sesi bersama TNC dan pengetua-pengetua kolej kediaman. Selain daripada mandi dan berseronok bersama-sama di dalam kolam renang antara lelaki dan wanita di siang hari. Berdasarkan sumber yang lain, para peserta mengadu bahawa pogram itulah tidak bersangkut paut dengan pengurusan kolej, malahan lebih kepada menyokong pembawaan Aspirasi selama ini. Dan mengajak untuk menyokong calon-calon Aspirasi semasa pilihanraya kampus yang juga akan diadakan dalam bulan tersebut.

Manakala pada tahun ini pula, sekali lagi pogram seperti ini dianjurkan yang dinamakan sebagai Perhimpunan Patriotisme Remaja. Setiap peserta disogokkan dengan wang ringgit sebanyak RM50.00, malahan ada juga yang mencecah sehingga RM300.00. Walaubagaimanapun, kesan daripada perhimpunan ini dianggap gagal mencapai objektif berdasarkan penilaian kekalahan Aspirasi dalam kerusi umum dalam pilihanraya kampus baru-baru ini. Selain itu, percutian ke Pulau Pangkor calon-calon Aspirasi pada tahun ini juga sekali lagi menampakkan betapa kekejaman demi kekejaman dilakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar di bawah Prof. Azali Mohammad sebagai Timbalan Naib Canselor yang sepatutnya wajib untuk bersikap adil dan demokrasi sebagai individu yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, pada tahun ini. Pro Mahasiswa UPM, menyifatkan perbuatan ini sebagai satu perbuatan yang paling teruk dan sepatutnya tidak menjadi pengamalan kepada golongan akademik yang perlu bersikap rasional dan bijak dalam melahirkan pemimpin Mahasiswa pada masa akan datang. Selain itu, perbuatan ini akhirnya menyebabkan Pilihanraya Kampus UPM 2009, berada di takuk yang paling bawah dan secara tidak langsung telah menconteng arang nama baik Universiti Putra Malaysia secara amnya.

Secara jelasnya, perjuangan dan dasar yang dijalankan oleh Prof. Azali Mohammad dalam menerajui Bahagian Hal Ehwal Pelajar selama ini, semakin hari menunjukkan keberjayaannya, dengan hilangnya roh semangat kepimpinan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar di kampus hijau yang kita cintai ini. Ini merupakan satu malapetaka yang maha dasyat menimpa dunia kehidupan Mahasiswa UPM. Penderhakaan kumpulan Aspirasi kepada Mahasiswa UPM merupakan satu dosa yang paling besar kepada keturunan Mahasiswa UPM sehinggalah ke saat ini. Dengan itu, kemaraan Pro Mahasiswa UPM dengan menggadaikan segala apa yang ada, demi menuntut dan melakukan satu perubahan dalam melihat kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UPM, menjadi sebutan di mata dunia. Biarlah segala fitnah datang melanda, kami menganggap itu sebagai dugaan dan cabaran untuk kami tempuhi, demi melihat senyuman Mahasiswa UPM kembali tercipta. Salam Perjuangan Buat Semua.

0 comments:

 
Setting Up Blog Using Blogger | Original Template By Loft Real Eestate | Modified By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox