..Mengoptimakan sinergi GERAKAN MAHASISWA ke arah merealisasikan IMPIAN MAHASISWA.. ..dari MAHASISWA untuk MAHASISWA.. ayuh!!! bersama realisasikan misi ::KAMPUS MILIK MAHASISWA::

KALENDAR 2009

Monday, January 5, 2009

Bahasa Melayu Ke Liang Lahad?

“Takkan hilang Melayu di dunia” itulah antara kata-kata hikmat yang diwariskan daripada pejuang Melayu bergelar Hang Tuah pemilik Keris Taming Sari. Ayat ini sering dijadikan sebagai satu suntikan semangat bangsa Melayu untuk terus bangkit berjuang dengan harapan meletakkan bangsa melayu untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Namun, sayang seribu kali sayang, bayangan kejatuhan tamadun Melayu mula kelihatan. Apabila yang mengaku pejuang Melayu akhirnya bersifat munafik di perjalanan.

Agenda paling menyedihkan apabila tidak ada lagi yang boleh dipertaruhkan, akhirnya agama juga yang menjadi cagaran. “Melayu Islam, Islam Melayu” begitulah slogan yang membawa dosa kepada beberapa pemimpin politik yang begitu berani bermain-main dengan bahasa melayu demi mencapai kepentingan peribadi. Sehinggakan pada hari ini, dikalangan masyarakat bukan Islam mahupun orang Islam sendiri mula keliru yang manakah bangsa, dan yang manakah agama Islam yang sebenar. Sedangkan sebagai masyarakat yang bijak dan terpelajar, bahawa jauh bezanya antara Melayu yang merupakan penganut agama, dan Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t melalui Rasulnya.

“Islam Melayu”
Dalam ayat ini, dari segi bahasanya, perkataan “Islam” merupakan subjek, dan perkataan “Melayu” pula merupakan predikat, iaitu penerangan kepada subjek. Maka, apa yang dapat difahami melalui daripada kenyataan ini ialah, “Islam merupakan bangsa Melayu”. Dengan itu, perlu difahami, bahawa jauh dan sangat jauh bezanya antara Islam dan Melayu. Melayu merupakan satu kelompok masyarakat yang kebanyakkannya beragama Islam. Manakala Islam pula merupakan agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t yang bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada bangsa Melayu semata-mata.

Ramai di antara kita yang memandang remeh-temeh kepada masalah ini, sedangkan perkara ini sangat mustahak untuk difahami oleh masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang beragama bukan Islam dan juga yang baru sahaja mengenal agama Islam. Jangan hanya kerana perbuatan jahat dan terkutuk di antara pemimpin melayu, akhirnya agama Islam turut tercalar.

Keadaan ini telah membawa pelbagai situasi dengan dihiasi pelbagai senario demonstrasi laungan semangat perkauman yang tinggi. Sedang mereka menghina bangsa Israel yang begitu taksub pada bangsanya, namun mereka tidak sedar bahawa terdapat di antara mereka sendiri yang begitu bersemangat perkauman mahupun boleh disifatkan sebagai memiliki semangat assabiah yang padu. Sehinggakan pada hari ini hukuman hudud juga boleh dipermain-mainkan. Malahan, ada juga daripada pemimpin lulusan luar Negara yang berlagak lebih hebat daripada seorang ulama dengan berani berdebat dan berhujah dengan hujah ayat-ayat kesesatan dalam mencari kebenaran Islam.

Ingatlah, bahawasanya bukan mudah untuk membina kegemilangan bangsa melayu, namun sangat mudah untuk menjatuhkannya. Melayu perlu sedar, bahawa perlunya untuk kembali kepada ajaran agama yang sebenar. Bahasa Melayu yang menjadi medium perpaduan Negara Malaysia mula menampakkan kejatuhannya, isu PPSMI terus dipolitikkan. Benar, untuk kita mengangkat martabat ilmu pengetahuan, perlunya pengetahuan bahasa yang pelbagai, namun janganlah hanya kerana bahasa, puluhan ribu manusia bakal menderita dan Bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Keranda 152 sudah diangkat, adakah perlu untuk dimasukkan ke liang lahad?

0 comments:

 
Setting Up Blog Using Blogger | Original Template By Loft Real Eestate | Modified By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox