..Mengoptimakan sinergi GERAKAN MAHASISWA ke arah merealisasikan IMPIAN MAHASISWA.. ..dari MAHASISWA untuk MAHASISWA.. ayuh!!! bersama realisasikan misi ::KAMPUS MILIK MAHASISWA::

KALENDAR 2009

Thursday, October 23, 2008

Kenyataan media UPM

kenyataan yang dikeluarkan oleh UPM berhubung kes pembuangan kolej adalah PALSU dan TIDAK BENAR. Mangsa telah menghubungi pihak universiti meminta supaya mereka menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkan berbaur penipuan dan ketidakadilan. Tindakan selanjutnya akan diambil jika universiti gagal berbuat demikian.


"Universiti Putra Malaysia (UPM) ingin merujuk kes dua pelajar yang dibuang oleh pihak pengurusan Kolej Tun Perak sepertimana dilaporkan oleh Malaysiakini pada 16 Oktober 2008.

UPM ingin memaklumkan bahawa dua pelajar berkenaan iaitu Nor Farhana Azmi dan Nur Shafiqa Mohd Ali didapati menginap secara tidak sah di kolej berkenaan setelah merujuk kepada Sistem Maklumat Pelajar.

Kedua-dua pelajar ini tidak memenuhi kriteria untuk terus menginap pada sesi kemasukan 2008/2009 seperti yang ditetapkan oleh pihak kolej dan universiti.
Pelajar berkenaan sedia maklum akan peraturan berkenaan memandangkan setiap pelajar dibekalkan buku merit.

Berikutan itu, pelajar berkenaan telah disenaraikan sebagai pelajar yang tidak berjaya menginap di Kolej Tun Perak pada 23 April 2008 (cuti akhir semester bermula 28 April – 6 Julai 2008).

Bagaimanapun, pelajar berkenaan telah melanggar peraturan kolej dan terus tinggal di kolej berkenaan secara tidak sah setelah pemeriksaan dilakukan oleh pihak pengurusan kolej pada 25 September 2008.

Peringatan kepada pelajar telah dimaklumkan tetapi pelajar berkenaan masih degil dan terus menginap sehingga pihak kolej mengambil tindakan pada 15 Oktober 2008.

Secara asasnya, kes ini menunjukkan pelajar tetap bersalah kerana tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Pada awal semester, pihak kolej telah memberi peluang dan menasihatkan pelajar berkenaan untuk membuat permohonan semula untuk tinggal di kolej berkenaan serta pada masa yang sama, pihak kolej telah mendapatkan tempat untuk dua pelajar berkenaan di kolej kediaman lain yang lebih besar kapasitinya memandangkan Kolej Tun Perak memberi keutamaan kepada kemasukan Kor SUKSIS dan pengambilan kedua universiti.

Pada asalnya, pelajar tersebut telah bersetuju setelah pihak kolej menggunakan budi bicara yang memberi masa tiga hingga empat hari untuk pelajar berkenaan memindahkan barang-barang ke kediaman baru.

Sebaliknya, dua pelajar berkenaan hanya memindahkan barang-barang mereka daripada stor simpanan ke bilik lain yang tidak diketahui dan menurut ahli blok, mereka juga jarang berada di blok kerana takut dikesan oleh pihak pengurusan.

Ini menunjukkan pelajar tersebut tidak merasa bersalah walaupun terdapat keputusan yang dipersetujui bersama dengan pihak kolej berkenaan.

Pada pandangan UPM, pelajar berkenaan telah melanggar peraturan kolej kediaman.

Bagaimanapun berdasarkan laporan kes, Naib Canselor UPM telah menimbang situasi pelajar berkenaan dan atas dasar prihatin yang mengambil kira minggu peperiksaan akhir, Naib Canselor UPM bersetuju membenarkan pelajar terbabit untuk terus tinggal di Kolej Tun Perak sehingga tamat minggu peperiksaan akhir.

Pelajar juga boleh memohon untuk tinggal di kolej kediaman lain tertakluk kepada kekosongan penginapan dan peraturan kolej berkenaan.

Dengan keputusan ini, Naib Canselor UPM berharap pelajar berkenaan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peperiksaan akhir bagi semester pertama sesi 2008/2009. "


Abdullah Arshad
Ketua, Bahagian Komunikasi Korporat
Universiti Putra Malaysia


0 comments:

 
Setting Up Blog Using Blogger | Original Template By Loft Real Eestate | Modified By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox