..Mengoptimakan sinergi GERAKAN MAHASISWA ke arah merealisasikan IMPIAN MAHASISWA.. ..dari MAHASISWA untuk MAHASISWA.. ayuh!!! bersama realisasikan misi ::KAMPUS MILIK MAHASISWA::

KALENDAR 2009

Wednesday, June 18, 2008

Kaum Adam IPTA menuju kepupusan

0leh : Tendang Tepi

Semua institut pengajian tinggi mengalami masalah yang sama. Masalah kekurangan mahasiswa berbanding mahasiswi. Sejak 10 tahun kebelakangan ini, masalah tersebut selalu diperkatakan sehingga ia menjadi satu dokrin. Manjadi isu yang biasa dan sudah tidak popular. Isu ini sepatutnya sudah ada penyelesaiannya. Baru-baru ini, isu ini kembali disuarakan. Sedikit perkongsian ini untuk mencelikkan kembali mata kita yang mungkin telah tertutup dengan isu ini.

PUTRAJAYA 16 Jun - Kekurangan jumlah pelajar lelaki di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini semakin serius dan membimbangkan terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Aminah Ayob berkata, lebih mengejutkan lagi trend penguasaan golongan itu dalam bidang teknikal termasuk kejuruteraan di universiti awam kian merosot dan kini didominasi pula oleh pelajar perempuan.

''Untuk kelayakan ke bidang perguruan sahaja, sebanyak 70 peratus dikuasai pelajar perempuan... di manakah pelajar lelaki?

''Trend kekurangan pelajar lelaki ini sebenarnya tidak di UPSI sahaja, tidak juga dalam kursus bahasa dan perguruan, tetapi meluas di seluruh universiti yang turut meliputi bidang profesional dan teknikal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

(sedutan berita dalam Utusan Malaysia)


Apakah masalah sebenar yang menyebabkan masalah ini berlaku? Adakah tahap pemikiran pelajar lelaki tidak setinggi pelajar wanita? Dalam Islam, lelaki dikatakan memiliki 9 akal berbanding wanita. Ini mencerminkan keupayaan lelaki ynag sepatutnya melebihi kaum wanita. Tetapi permasalahan sekrang, ianya berlaku yang sebaliknya.

Apakah yang pincang sebenarnya? Kaum itu sendiri atau sistem yang kita guna pada hari ini. Tidak dinafikan, wanita dari dahulu sampai sekarng dikaitkan dengan kerajinan dan sistematik dalam membuat sesustu perkara. Mungkin fitrah semulajadi yang dianugerahkan. Leleki pula, tidak ramai yang bersifat demikian. Sedar atau tidak, sistem pendidikan negara kita lebih meraikan golongan yang rajin berusaha atau bahasa lain, rajin menghafal, menghurai dan sebagainya. Ini lebih memihak kepada fitrah semulajadi wanita. Secara tidak langsung is menutup peluang kepada kaum lelaki untuk mereka mempamaerkan prestasi mereka.
Menurut Aminah, Kementerian Pelajaran perlu mengubah teknik pengajaran ke arah yang lebih mengupayakan pelajar untuk menelaah dan berfikir.

''Kita jangan lagi bergantung kepada sistem peperiksaan yang berbentuk menghafal sebaliknya tukarkannya kepada teknik mengasah minda dan berfikir.

''Jika kekurangan pelajar lelaki di IPTA ini tidak ditangani dikhuatiri akan wujud ketidakseimbangan besar yang mengakibatkan penyertaan golongan itu dalam bidang profesional tidak menyerlah," katanya.

Ini hanya satu lontaran. Tiada niat untuk menyalahkan sesiapa. Kerana dalam setiap perkara ynag dibuat, kadang-kadang ia akan bersifat menguji sistem pada awalnya. Sistem pendidikan kita sudah lama diamalkan dan setiap masa ianya diubah supaya relevan dengan keadaan dan masalah semasa. Mungkin perlu sedikit lagi pembaikan dari masa ke semasa. Jikalau masalah kekurangan kaum lelaki ini tidak diambil berat, kita bimbang Malaysia akan kepupusan pemimpin dan profesional daripada kaum lelaki.

Wednesday, June 11, 2008

Bestnya makanan...yang bakal tak best ialah...?

Oleh : Hazirah Hussin

BUKIT MERTAJAM 10 Jun – Pengusaha kantin sekolah di sekitar Seberang Perai mula menaikkan harga makanan yang dijual kepada pelajar sehingga 30 peratus dengan alasan kos bahan mentah meningkat mendadak sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah di sini hari ini mendapati harga kuih-muih, roti canai dan makanan berasaskan nasi di kantin sekolah naik paling ketara iaitu antara 10 hingga 30 sen manakala minuman kekal pada harga lama.

Pengusaha kantin yang ditemui memberitahu, kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos beras, ayam, tepung, sayur-sayuran dan plastik selain tindakan pembekal kuih-muih sekitar Seberang Perai menaikkan harga produk masing-masing....( berita lanjut, rujuk Utusan Malaysia, 10 jun 2008)

Di atas hanya sebahagian berita yang saya baca di akhbar pagi tadi. Saya percaya lepas ni, lebih banyak lagi berita ynag agak serupa akan dilaporkan. Ini baru kantin sekolah. Bersedialah untuk menerima kejutan kenaikan harga di kafe-kafe kolej di kampus masing-masing pula. Apa peranan kita? Apa peranan MPP? Apa peranan pihak Universiti? Peranan kerajaan?

Tuesday, June 10, 2008

Kad Diskaun Pelajar?

Oleh : Hazirah Hussin

Bangi 8 Jun ( Utusan Malaysia)- Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan kad diskaun pelajar bagi memastikan impak kenaikan harga barang dan perkhidmatan ketika ini tidak membebankan mereka.

Timbalan Menterinya , Datuk Idris Haron berkata, kad tersebut akan membolehkan pelajar menikmati potongan harga barang dan perkhidmatan yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Menurutnya, kertas cadangan mengenai kad tersebut akan dibawa kepada pihak kementerian untuk dibincangkan bulan depan sebelum dihantar kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

“ Kerajaan akan menimbangkan cadangan memperkenalkan kad itu dan ia bergantung pada kertas cadangan yang dihantar kepada kementerian, ”

Menurut beliau, kad diskaun itu boleh digunakan oleh kira-kira 850,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)….(berita lanjutnya boleh rujuk akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 Jun 2008)

Satu langkah yang bagus. Sebagai seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar, saya merasakan idea yang dicadangkan itu amat bernas dan seharusnya dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan masalah kewangan di kalangan pelajar. Memandangkan harga minyak petrol sudah meningkat dengan terlampau drastiknya, secara langsungnya ia akan memberi kesan kepada kehidupan pelajar itu sendiri. Harga barang basah juga sudah ada yang naik (dan mungkin beberapa barang lagi yang akan naik harganya). Saya percaya, harga makanan di kafe juga akan naik (beras, petrol mahal).

Persoalan yang ingin dikembalikan kepada semua mahasiswa, antara kad diskaun dan kenaikan biasiswa, yang mana lebih digemari pelajar? Pastinya ada pro dan kontranya. Bergantung pada latar belakang pelajr itu sendiri. Yang mendapat biasiswa mestilah mengharapkan kenaikan kadar biasiswa. Tetapi bagi yang mendapat pinjaman, kenaikan kadar pinjaman bermakna kenaikan hutang yang harus dilunaskan nanti.

Kalau kad biasiswa, ianya berguna untuk semua samada penerima biasiswa, pinjaman atau tajaan PAMA( papa mama).Satu harapan saya, cadangan ini tidak hanya tinggal sebagai satu cadangan untuk melegakan hati pelajar. Pertimbangkanlah pelajar yang mendapat pinjaman atau biasiswa yang hanya sekadar cukup sahaja. Harga barang sudah naik, cadangan nak naikkan kadar pinjaman atau biasiswa pula seakan tidak ada setakat ni.

“Peruntukkan biasiswa telah dinaikkan dua tahun lalu dan tidak mungkin ia akan dinaikkan lagi dan sebagai pengganti, kad diskaun pelajar kebangsaan adalah jawapannya,”- Datuk Idris Haron, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Itu dua tahun dahulu. Dalam dua tahun macam-macam boleh berlaku. Dalam dua minggu pun macam-macam boleh berlaku, inikan dua tahun..Fikir-fikirkan.

Monday, June 9, 2008

Dos kecil dahulu...


Oleh : Tendang Tepi

Baju sekolah putih?

Apa masalahnya?

Sejak akhir-akhir ni, semua orang sibuk berdebat pasal pakaian seragam putih pelajar perempuan sekolah rendah dan menengah. Sana-sini kedengaran orang bercakap. Pengetua tampil meluahkan kebimbangan. Para guru sepakat bersetuju. Makcik-makcik pula mula cuak. Tak senang duduk. Mula mengukur ketebalan,kenipisan baju sekolah anak gadis. Mula sedar dari lena. Aktivis-aktivis agama rancak memberi pandangan dan cadangan. Pertubuhan lain juga sibuk mengeluarkan respon. Pak menteri juga tak duduk senyap. Semua ni merespon saranan saudari munirah Bahari, Pengerusi HEWI PKPIM supaya kerajaan menilai semula pemakaian seragam sekolah putih bagi pelajar perempuan sekolah menengah dan rendah.

Apa yang tak kenanya dengan seragam putih?

"Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan...." (Saudari Munirah Bahari,Pemimpin wanita PKPIM)

Ternyata ada yang gembira dengan saranan tersebut. Berbakul-bakul pujian, sokongan dan pandangan membina yang dilemparkan. Tapi tidak kurang juga yang kurang senang dengan amal maaruf dan nahi mungkar yang cuba ditegakkan.Malah melabelkan orang yang menyarankan sebagai kelakar, katak di bawah tempurung dan pelbagai lagi gelaran.Beberapa respon daripada pelbagai pihak:

“Baju kurung seragam berwarna putih telah sekian lama dipakai tanpa menimbulkan sebarang masalah. Masalah sosial dan gejala seksual yang semakin meruncing di kalangan pelajar sebenarnya berpunca dari krisis nilai, hakisan pegangan agama dan moral yang sedang hebat melanda masyarakat kini,” (Dr. Harlina Siraj,Wanita JIM )

”Something must be seriously wrong with local men if the sight of girls in their school uniform turns them on,” (Sisters in Islam)

" Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan sokongan yang tinggi terhadap cadangan tersebut dan turut mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran segera mengambil tindakan sesuai dengan tuntutan agama yang mendidik agar kita senantiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang menghela ke arah jenayah dan mungkar….” ( Ustz.Nasaruddin Hassan Tantawi,Pemimpin Pemuda PAS )


" Tuntutan agama ialah menutup dan menjaga aurat termasuk memakai tudung bagi pelajar perempuan Islam. Oleh itu Kementerian mestilah mengambil kira cadangan pelbagai pihak khususnya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk memastikan soal berpakaian ini dititik beratkan….” (Ustzh Nuridah Salleh,Muslimat PAS)

" Soal pakaian seragam sekolah pelajar perempuan bukanlah punca peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual di kalangan pelajar " ( Dato' Seri Hishamuddin Hussein -Menteri Pelajaran Malaysia )

Pada pandangan peribadi saya, saranan daripada PKPIM itu amat baik. Walaupun jika kita melihat dari sudut lain, akar permasalahan yang sebenar bukanlah warna atau ketebalan pakaian seragam yang harus dibincangkan tetapi ada pokok masalah lain yang tersembunyi. Apa yang saya faham, masalah sebenar ialah masalah kroniknya moral dan akhlak masyarakat kita sekarang. Masalah ini telah lama disedari dan sekarang semakin meruncing. Bertitik tolak dari permasalahan ini, pelbagai masalah lain pula timbul. Untuk menyelesaikan masalah sebesar ini, kita memerlukan satu formula yang amat ampuh.

Formula itu sebenarnya sudah ditemui sekian lama. Cuma belum masih boleh diterima oleh masyarakat. Formula yang dimaksudkan ialah kembali kepada ajaran agama masing-masing. Disebabkan ’penyakit’ terlalu parah, dos ubat yang terlampau tinggi tidak mampu ditanggung oleh badan. Mungkin kita boleh bermula daripada dos yang rendah dahulu. Kemudian dos itu ditambah sedikit demi sedikit. Analoginya disini, penukaran warna seragam sekolah yang dicadangkan oleh PKPIM. Jika saranan ini diterima, kita yakin ia tidak dapat pun menyelesaikan masalah sebenar.

Tetapi sekurang-kurangnya,penyakit baru dapat dicegah sementara kita merawat penyakit yang sedia ada. Bagi kementerian yang berkaitan, saya mencadangkan penukaran warna seragam sekolah dapat dipercepatkan. Untuk mengatasi bebanan kewangan para ibu bapa, saya menyarankan penukaran seragam itu dilakukan secara berperingkat. Maksudnya, diwajibkan kepada pelajar yang baru mendaftar (sesi kemasukan pelajar baru).

Dengan ini, dalam beberapa tahun, semua pelajar akan berseragam baru tanpa membebankan ibubapa. Ini lebih baik daripada cadangan supaya pelajar diwajibkan memakai camisole, memilih kain jenis tebal atau melabuhkan tudung. Kerana, pada pengalaman saya, syarat itu tidak semestinya dipatuhi oleh pelajar. Dalam ramai2, pasti ada yang ingkar dengan alasan ”bukannya orang tahu kita ikut peraturan atau tak”.Tetapi jika warna yang diwajibkan diubah, pelajar tidak mampu beralasan lagi kerana perubahan yang ketara yang perlu dilakukan. Akhir kata, saya sekali lagi menyambut baik cadangan PKPIM dan mengharapkan pihak yang berkaitan segera bertindak...!

Salam Perubahan

Salam perubahan kepada semua insan yang bergelar mahasiswa. Anda adalah generasi muda negara ini. Aset terpenting negara, agama dan bangsa. Melihat kepada kelesuan dan kebekuan minda pelajar pada masa kini, kami merasa terpanggil untuk menyediakan satu ruang, pentas untuk kita sama-sama berpencak di gelanggang mahasiswa. Generasi baru seharusnya berfikiran baru dan tidak takut untuk bersuara atas tiket mahasiswa yang diiktiraf keintelekkannya.

Nyatakan pandangan dengan lantang, telus dan dan berilmu. Buktikan mahasiswa bukan lesu, beku. Jangan takut untuk menentang arus. Tidak salah untuk mencuba dan salah. Yang salah ialah kita tidak mencuba dan tidak pernah salah. Jangan bimbang untuk mengubah paradigma lama, tidak sependapat dengan majoriti kerana kita mahasiswa dan generasi muda yang berfikiran segar. Peranan “orang tua” ialah menegur kepincangan kita. Bukannya mencantas pemikiran generasi baru dengan mewujudkan pelbagai kekangan atas dasar kuasa dan senioriti. Malaysia baru tidak akan tercorak tanpa pemikiran generasi baru. Buka mindamu, keluar dari nostalgia lama. Ini zaman kita. Kita yang harus mencoraknya. Bersama kita memimpin perubahan.Bersama mencorak sejarah kita yang tersendiri..[^_^]
 
Setting Up Blog Using Blogger | Original Template By Loft Real Eestate | Modified By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox