..Mengoptimakan sinergi GERAKAN MAHASISWA ke arah merealisasikan IMPIAN MAHASISWA.. ..dari MAHASISWA untuk MAHASISWA.. ayuh!!! bersama realisasikan misi ::KAMPUS MILIK MAHASISWA::

KALENDAR 2009

Saturday, November 1, 2008

UPM Menang Universiti Penyelidikan Cemerlang

PUTRAJAYA, 1 Nov – Kecemerlangan Universiti Puta Malaysia (UPM) dalam penyelidikan dan pendidikan terbukti apabila diumumkan sebagai pemenang Technology Business Review ASEAN Award 2008 for Excellence in the ASEAN Education Management Sector (Research University).

Naib Canselor UPM Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah menerima trofi kristal kemenangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Chopard Malaysia, A. B. M. Shah Jahan pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada panel Technology Business Review yang memilih UPM buat kali kedua dan melafazkan penghargaan kepada semua warga UPM yang turut sama melonjakkan penyelidikan dan pendidikan universiti itu ke tahap tertinggi.

UPM merupakan universiti tunggal yang memenangi kategori Research University selepas memenangi anugerah dan kategori yang sama pada tahun lalu.

Anugerah yang diperkenalkan sejak tahun 2006 itu diberikan kepada organisasi yang cemerlang meningkatkan prestasi, inovasi, kepuasan pelanggan, pengurusan sumber manusia dan tanggungjawab sosial korporat.

Pada tahun ini sebanyak 25 organisasi daripada 11 sektor korporat, 20 individu bagi kategori kepimpinan dan lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima anugerah tersebut.

Lebih seribu tetamu daripada sektor korporat, awam dan diplomatik hadir pada majlis tersebut, antaranya Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadhilah Yusof dan Timbalan Menteri Penerangan Dato’ Tan Lian Hoe.

Sumber: Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM.

1001 cara mereput pemerintahan MPP pasca PRK

Oleh: Sdr. Ali Bukhari Amir *

POLITIK KAMPUS | Perang adalah angka. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Perang yang pertama dalam Islam menyaksikan bagaimana 313 tentera Islam telah menewaskan 1,000 tentera Musyrikin. Bermodalkan semangat dan tawakal bulat, mereka akhirnya menang!

Tidak dapat dinafikan bahawa hal kemenangan dan kekalahan itu memang berkait rapat dengan angka. Selalunya, angka yang besar menewaskan dan menumbangkan yang kecil. Sekiranya yang berlaku sebaliknya, tentu ia adalah kesan mukjizat.
Mukjizat berlaku apabila jumlah pasukan yang kecil dan kerdil, tapi baik amalannya lalu dengan berkat amalan itu, mereka mendapat bantuan Tuhan. Contoh-contoh klasik selain perang Badar adalah perang Talut melawan Jalut, kes Bani Israel melarikan diri daripada tentera Fir’aun di Laut Merah dan lain-lain.

Mukjizat besar terjadi, lautan terbelah dua dengan sebab amalan pengorbanan Bani Israel; berhijrah meninggalkan Mesir, meninggalkan hasil tanaman meranum untuk mencari satu penempatan baru. Amalan ini berkaitan dengan pengorbanan.

Mana-mana amalan yang menuntut pengorbanan, biasanya mewujudkan gegaran besar di dalam sejarah. Jelas.. angka bukannya kayu ukur muktamad dalam kemenangan. Menang itu boleh jadi tercipta dengan sebab mahir menyusun strategi.

Menang kerana strategi
Tentera Islam dalam kebanyakan perang, Perang Khandaq dan lain-lain peperangan, telah mencedok strategi ilmu peperangan daripada tamadun lain juga seperti Parsi dan lainnya. Soalan awal yang patut kita tanya diri sendiri .. adakah kita menyusun strategi?

Saufi daripada Upsi akhirnya melayangkan sms, “Aspirasi meletakkan calon menang tak bertanding sebagai YDP. Calon undi tertinggi PRK Upsi hanya diletakkan sebagai exco, memang mainan HEP.” Saya tidak menjawab sms itu kerana penjelasannya panjang.

Maka, buang jauh-jauh pendapat selama ini, bahawa yang mendapat undi (angka) tinggi akan menang. Berasaskan pengalaman sebelum ini pun, kita dah tahu bahawa HEP Umno dan Aspirasi akan melakukan 1001 macam kaedah dan strategi untuk menang.

Kisah pilihan raya di USM itu belum tamat. Inilah sambungannya. Selesai pengiraan undi malam itu, wakil-wakil PMI, Dema yang membentuk pakatan propelajar berasa riang dan gembira. Puas hati kerana mereka mendapat undi tertinggi.

Dalam senarai calon umum itu, 4 orang wakil propelajar telah menang dan seorang sahaja wakil Aspirasi yang tersenarai dalam undian tertinggi. Sebahagian rakan-rakan PMI telah menuju ke Masjid al-Malik Khalid di USM malam itu kerana usaha mereka berbaloi.

“Kita mahu sujud dan solat syukur!” kata mereka beramai-ramai. Dan rakan-rakan Dema pun menghala ke arah Restoren Khaleel, membuang penat yang lama bertakung di tubuh mereka menjelang PRK. Demikianlah cara mereka melepaskan ketegangan di kepala.

Malam itu, sejurus pengumuman dilakukan oleh Dato’ Profesor Jamaludin Mohaiadin di dewan kuliah, kumpulan Islamis melaungkan takbir dengan kemenangan itu. Gema takbir disambut TNC dengan gurauan sadis, “Yang itu (laungan) Pas!”

Deraian ketawa pun melimpah, memenuhi dewan kuliah yang bertukar menjadi tempat mengira undi. Propelajar meraikannya penuh gembira. Tak pernah tercuit, selepas itu, ada hari-hari gelap dan mendung suram mendatang, menyaksikan mereka kalah percuma!

Warga Berita Kampus berkerut dahi seperti biasa. Ya.. kerja kami belum lagi selesai. Dan saat pulangnya ke desasiswa Indah Kembara, saya terlihat kelibat juak-juak Aspirasi yang berkumpul bersama TNC di tanah lapang yang berhampiran tempat pengiraan itu.

“Kau agak.. apa TNC buat di situ?” demikian saya bertanya ‘Deep Throat’.

“Entahlah, aku pun tak tahu,” duri dalam daging HEP itu membalas ringkas.

“Kan kau yang selalu rapat dengan mereka?” saya bertanya kembali. Saya syak ada suatu rancangan baru yang bakal menyusul tiba. Tapi, kami gagal memahami apa-apa.

Tiba-tiba, selesai perbincangan antara TNC dan mahasiswa Aspirasi itu, mereka bertepuk tangan penuh kegembiraan. Dan mereka menyanyikan sebuah lagu. Sah! Mereka gembira ini tentunya ada apa-apa. Mereka tahu mereka akan menang! Tetapi, strategi apa?

Perang tiga peringkat
Sebab itulah dalam tulisan baru-baru ini, saya menyatakan bahawa saya mestilah gembira dengan kemenangan siswa Upsi, tapi peratus kegembiraan itu tak sampailah 100%. Saya hadam benar strategi dan pola pemikiran HEP. Bukan saya nak berlagak. Percayalah..

Sudahkah saudara menyiapkan pelan peperangan tiga peringkat? Saya percaya, ramai pro siswa menyediakan dua rancangan saja, iaitu sebelum PRK dan ketika berlangsung PRK. Sebenarnya, ada satu lagi strategi terakhir, iaitu ‘backup plan’ .. strategi selepas PRK.

Suatu malam, ketika berbual di ruang maya YM, Hamzah mengirim maklumat yang sama seperti Saufi. Iaitu, meminta cadangan tentang bagaimana mahu bertindak.

“Tiga calon umum yang menang PRK di Upsi dilantik jadi exco saja. Walhal, kami minta dua kerusi MT saja, iaitu NYDP dan bendahari.

“Dengan rakusnya, Proaspirasi bolot semua kerusi MT. Bagi saya, mereka dah menafikan majoriti undi siswa yang mengundi promahasiswa khasnya untuk kerusi umum,” katanya. Beliau antara yang yakin sepenuhnya bahawa promahasiswa menang besar di Upsi.

Baiklah, yang tersurat telah pun terjadi. Saya teringat ungkapan Einstein yang tidak kalah menariknya. Lebih kurang begini, “Keburukan terjadi bukan kerana dunia ini dihuni oleh ramainya penjahat. Tetapi, keburukan berlaku kerana orang-orang yang sedar, melihat hal kemungkaran berlaku di depan matanya, tetapi tidak mengubahnya.”

Pengajarannya..masalah ini terjadi bukan kerana Umno, HEP, Aspirasi berbuat kejahatan. Tapi, kerana orang-orang baik tidak berbuat apa-apa. Nah! Saya yakin saudara pasti rasa ‘tension’ lagi mendengar kenyataan ini.

Sudahlah kami kalah dan tidak mendapat kuasa, hasil penipuan HEP, kini anda menghina kami pula sebagai kelompok siswa yang tak bertindak?! Baik..dengar dulu apa penjelasan saya yang berikutnya. Asas kenapa saya berkata demikian memang wujud.

Saya bercakap melalui pengalaman, bukan cakap ikut suka hati. Di USM, hal yang sama telah berlaku. Ketika kes itu terjadi, kumpulan mahasiswa ini, Aspirasi dan promahasiswa telah dibawa ke kem BTN. Maka, gerak kerja ‘brainwash’ pun bermula.

Ceritanya sangat panjang di sini. Tapi, memadailah kalau saya ringkaskan di sini bahawa pada akhirnya, USM jatuh juga ke tangan Aspirasi.

“Hangpa buat apa lepas ni?” tanya saya kepada seorang pemimpin propelajar. Diam..

Kepada seorang pimpinan pelajar lagi saya turut bertanya, “Tak bolehkah buat kenyataan untuk bantah..” Dia juga mati akal. Selalunya begitulah, pimpinan siswa diam pada pasca PRK. Di sini HEP suka, sebab dia tahu pada pasca PRK propelajar akan diam sahaja.

Dan percayalah, bahawa hal ini akan terus menjadi satu budaya yang berterusan. Tahukah saudara betapa azabnya ketika saya terpaksa memujuk seorang pimpinan propelajar untuk memberikan kenyataan di Berita Kampus bahawa promahasiswa di USM menang?

“Tak apa, kalau HEP panggil nanti, kita pergi sekalilah,” demikianlah saya memujuknya. Akhirnya dia bersetuju, memberanikan diri untuk memberi kenyataan kepada BK.

Saya masih ingat, hari Jumaat pagi dia menelefon saya. “Abang, HEP dah panggil.”

Atas keinginan mahu bertanggungjawab dan rasa ingin bergaduh dengan HEP, maka saya jadi gembira kerana perangkap saya mengena. En. Nazrul memang marah saya. Dia halau saya keluar dari pejabat. Saya enggan. Saya merapati keraninya. Pendek kata, saya masih ingin menimbulkan kemarahan pegawai HEP itu. Fuh! Seronoknya!

“Jangan rapat dengan kerani saya!” marahnya lagi. Saya enggan. Ketika itu saya sudah di luar biliknya. Saya tak mahu menunjukkan bahawa saya akan tunduk pada arahannya. Di sini, kita harus tahu bahawa pegawai HEP berasa gembira kalau arahannya dipatuhi.

Anda mesti cuba melanggar sebanyak mungkin arahan ini dengan sengaja hingga mereka sakit hati. Semua ini pasti akan melemahkan mereka dan anda jadi kuat tiba-tiba.

“Saya bukan panggil awak! Saya panggil dia seorang saja!” katanya ketika merujuk siswa itu. Saya masih diam, buat-buat memandang siling, pintu, meja dan apa-apa sajalah yang boleh dipandang. Anda mesti tekan perasaan HEP, tapi kenapa hal ini tak dilakukan?

Sesekali, anda perlu berlawak jenaka juga dengan HEP. Ini sebagai menunjukkan bahawa mereka ini tidak dihormati oleh warga kampus. Ada banyak lagi yang mahu diceritakan. Tetapi, biarlah saya berhenti di sini dahulu.

Syor dan cadangan
Baiklah..ketika saya mengarang ini, saya sendiri tak tahu apa yang sedang dilakukan oleh HEP dan apa yang sedang dirancang oleh mahasiswa Upsi itu. Tapi inilah syor-syor yang mungkin boleh saudara usahakan.

Pertama, himpunkan mahasiswa Upsi seluruhnya yang telah mengundi propelajar tempoh hari. Gunakan kebijaksanaan, mengguna persatuan-persatuan tertentu di Upsi yang anda kuasai untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Kedua, sebarkan ‘flyers’ maklumat tentang perhimpunan itu. Minta pandangan-pandangan mereka berhubung kaedah bagaimana yang perlu mereka lakukan bagi mengatasi hal ini. Katakan kepada siswa, undi anda telah dinafikan oleh HEP, maka apa tindakan kita?

Ketiga, lantik barisan ‘MPP alternatif” dan isytiharkan kepada semua mahasiswa bahawa inilah MPP yang sah sebenarnya dan MPP yang dilantik HEP itu adalah MPP haram.

Keempat, kenyataan dan pendirian saudara berhubung MPP alternatif itu hendaklah juga dirakam melalui YouTube dan salinannya disebarkan seluas-luasnya di internet.

Kelima, berjumpa dengan pihak media cetak, media eletronik, Buletin Utama, NTV7 dan sebagainya untuk mengisytiharkan bahawa MPP anda adalah sah dan HEP telah khianat kepada perjalanan demokrasi kampus.

Keenam, melalui kenyataan terbuka di media eletronik, desak Idris Haron agar menjawab segala kenyataan saudara itu termasuklah pegawai HEP anda sendiri.

Ketujuh, undang bersama pensyarah-pensyarah yang berani sebagai penasihat anda dalam hal ini. Ertinya, mahasiswa propelajar yang dilantik sebagai exco di dalam MPP haruslah meletakkan jawatan untuk dimasukkan dalam kerajaan MPP alternatif itu.

Dan banyak lagi yang boleh anda rancangkan nanti. Perhatian.. semua langkah di atas ini memang jelas menyalahi Auku. Anda tak boleh membuat kenyataan media melainkan ia mestilah melalui TNC. Ini semua, anda sedia maklum bukan?

Tetapi, kalau ingin berjuang dan tak mahu ditembak mati seperti Gandhi, Hasan al-Banna atau tidak mahu dipenjarakan seperti Nelson Mandela atau maut di tali gantung sebagai Syed Qutb, lupakan sajalah syor-syor di atas. Berehatlah dan wariskan derita batin untuk generasi seterusnya pada sidang hadapan. Wariskan kekalahan ini untuk bakal guru.

Saya tidak suka menyindir, menaikkan suhu bahang kemarahan, mendidihkan kegeraman yang telah lama menggelegak di kolam perasaan saudara. Saya tahu apa perasaan disindir itu. Ek, eleh.. macamlah kami ini tidak berguna walau seduit pun.

Proteslah seperti Sivaji!
Duit satu rupee kalau jatuh dalam genggaman seorang Sivaji pun besar maknanya kerana bermodalkan duit syiling itulah dia sanggup dan berani melawan. Tengok tak filem Sivaji The Boss baru-baru ini? Kalau tak sempat tonton, belilah VCD atau DVD satu.

Tapi, janganlah berlatih baling duit syiling, berlatih makan ‘chewing gum’, berlatih pakai cermin mata ala Sivaji. Bukan apa syeih..Ana dah cuba banyak kali dah. Memang tak jadi pun! Jadi, saya harap saudara berlatih bijak bertindak seperti Sivaji yang mengesan wang haram dan mengguna video di mana hal itu hampir sama dengan kes klip video Linggam correct, correct, correct. Gunalah YouTube, media elektronik perdana dan lainnya.

India itu walau terjebak dalam barah rasuah menggila, masih berani bermimpi membunuh pemimpinnya lewat filem. Labu Labi walau diherdik, masih berani protes dalam mimpi, mewajahkan watak majikan mereka, Hj Bakhil sebagai pelayan bar dan beruk mat ye.

Saudara memang berani protes di dalam blog. Tahniah.. saya memang gumbira. Tapi, apa kata jika anda lanjutkan protes sebagai Labu yang terbawa-bawa protesnya di alam realiti ketika Hj Bakhil simbah wajahnya dengan air. Kita boleh lihat ketakutannya bukan?

Syahadan, tentang syor-syor cara melawan HEP pasca PRK itu bukanlah saya harapkan sangat saudara mengikuti langkah-langkah tersebut. Mungkin, dalam pertemuan saudara bersama pelajar-pelajar Upsi itu nanti, saudara akan dapat menemukan lebih banyak syor yang berguna, baik dan sesuai dengan situasi di Upsi. Itulah yang terlebih baik.

Saat mengarang ini banyak limpahan perasaan berkubang di dalam dada. Rasa nak marah dan berlagak pun ada. Justeru itu saya mohon maaf. Rasa mahu ketawa pun ada, sebab itu saya pun tergelak, terguling dan tersenyum sendirian tatkala mengarang ini.

Kata Sukarno, berikan saya 10 orang pemuda nescaya saya akan goncangkan dunia. Saya bukan Bung Karno. Cuma, nak tanya.. berapa ramai yang boleh bergerak untuk melawan dalam tempoh pasca PRK ini? Takkan Saufi dan Hamzah saja kot?!

Kee.. saudara nak saya turun ke Upsi? Haa.. jawab-jawab..

3:02 a.m, 29 Syawal 1429
Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Keyakinan Masyarakat (Public Confident) perlu selari dengan pelantikan Naib Canselor

Isu pelantikan Naib Canselor menjadi perhatian masyarakat umum kembali. Kali ini, situasinya berlaku di Universiti Malaya yang mana Dato’ Rafiah Salim secara kontraknya akan menamatkan perkhidmatan sebagai Naib Canselor pada 7 November ini.

Secara faktanya, Naib Canselor (NC) adalah merupakan orang nombor satu di dalam pentadbiran sesebuah Universiti. Walaupun tidak dinafikan kewujudan Pro Canselor dan Canselor sebagai simbol keagungan Universiti. Tetapi dari segi autoriti dan juga tanggungjawab, jelas bahawa Naib Canselor merupakan tulang belakang kepada kejayaan sesebuah Universiti. Ia merupakan jawatan tertinggi dan cukup penting bagi sesebuah universiti kerana beliaulah yang menentu hala tuju Universiti dalam mencapai kecemerlangan, terutama dari segi akademik dan juga mutu graduannya.

Walaubagaimanapun, berdasarkan peraturan dan amalan sekarang, Menteri Pengajian Tinggi mempunyai kuasa mutlak melantik mana-mana tokoh akademik yang dirasakan layak menduduki kerusi Naib Canselor atau Rektor universiti di negara ini. Hal ini adalah sejajar dengan pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2008) iaitu Seksyen baru 4(a) dan 4(b) AUKU yang memperuntukkan bahawa "Menteri dari masa ke semasa hendaklah melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai perlantikan itu". Jelas bahawa peruntukkan AUKU ini akan menimbulkan satu perdebatan yang panjang kerana ia memberi kuasa pemutus kepada menteri bertanggungjawab untuk melantik Naib Canselor di sesebuah Universiti dan nasihat yang diberikan jawatankuasa itu adalah tidak mengikat menteri terbabit.

Walaupun bakal Naib Canselor kebiasaannya dicalonkan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU), tetapi kata pemutus (final outclause) datangnya daripada tangan menteri kerana beliau mempunyai kuasa mutlak (absolute power) menerima atau menolak nama-nama yang dicalonkan LPU. Justeru tidak hairanlah isu pelantikan Naib Canselor ini sentiasa menimbulkan kontroversi dan juga pendebatan ahli politik serta masyarakat umum termasuk ahli Parlimen sendiri.

Pelantikan Naib Canselor, yang dianggap sebagai CEO kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sering dipertikai dan didakwa sebagai tidak telus. Ada sesetengah pihak mengaitkan pelantikan Naib Canselor di beberapa IPTA dipengaruhi kuasa politik pihak tertentu Ada juga suara yang menyatakan mereka adalah kalangan tokoh akademik berkelayakan yang tidak harus dipertikaikan, sama ada dari segi akademik, pengalaman, pengaruh, komitmen dan kemampuan mentadbir. Ini merupakan satu persoalan akademik yang perlu dilakukan penelitian dan hujahan fakta.

Tetapi dalam sejarah berkaitan pelantikan dan penamatan Naib Canselor ini, kita tentu masih ingat bahawa isu yang paling hangat dalam bidang akademik telah tercetus pada awal Mei 2005 lalu iaitu mengenai desakan supaya Dr.Muhamad Zohadie meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia. Akhbar-akhbar perdana pada ketika itu telah membawa isu tersebut di halaman depan di dada akhbar-akhbar masing-masing. Antaranya ialah Berita Harian keluaran 9 Mei 2005 yang bertajuk ``Dr Zohadie didesak letak jawatan Naib Canselor UPM`` dan juga New Straits Times : `Universiti Putra V-C asked to resign``. Ia adalah kerana bekas NC UPM itu telah mempersoalkan arahan Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Dato' Dr Shafie Mohd. Salleh, berkaitan penukaran Program Aerospace Engineering di UPM ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau turut mengirim satu memorandum membantah arahan penukaran tersebut kepada kementrian terbabit. Atas budaya kritis beliau yang diajar di universiti untuk bersuara lantang bagi mempastikan kebenaran ini, Menteri Pengajian Tinggi ketika itu telah menyatakan dengan tegas bahawa beliau mempunyai kuasa mutlak untuk melantik atau memecat naib canselor atau rektor 17 universiti dan kolej universiti awam. Ia sebagai satu ugutan kepada bekas Naib Canselor UPM yang lantang itu, situasi yang tidak dapat dilihat pada hari ini

Amat malang sekiranya pemahaman politik dan juga prinsip Pegawai Tadbir Diplomatik digunakan, bukannya pemahaman keintelektualan, menyebabkan pelantikan NC dibuat secara pemilihan diktator, bukannya pemilihan secara kolektif. Sekiranya dahulu, para Naib Canselor dipilih secara majoriti oleh dekan-dekan, tetapi situasi pada hari ini amat berbeza. Jadi tidak terkejutlah bahawa ada Naib Canselor dipilih hanya berstatus lulusan master kerana ia hak mutlak dan budi bicara menteri sendiri.

Justeru dicadangkan agar penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk mencari Naib Canselor yang benar-benar berkemampuan dan berkelayakan. Jawatankuasa tersebut mestilah dianggotai orang-orang berkelayakan dan semua dekan-dekan fakulti. Dicadangkan juga agar mahasiswa diberikan peranan yang sama untuk menyuarakan pendapat berhubung pelantikan Naib Canselor ini. Pandangan mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar turut diambil kira sebelum melantik atau menyambung tugas seseorang Naib Canselor yang habis tempoh kontraknya.

Selain itu, proses pemilihan bakal Naib Canselor ini hendaklah dilakukan secara telus dan jujur. Urusan penyenaraian pendek nama-nama calon haruslah dilakukan oelh pihak lain dan bukannya Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengelakkan sebarang pelantikan yang tidak terhad kepada kakitangan kerajaan atau Timbalan Naib Canselor sahaja. Kalau difikirkan perlu, dicadangkan agar proses mendapatkan calon Naib Canselor ini perlu diuar-uarkan melalui iklan termasuklah di peringkat antarabangsa.

Pelantikan Naib Canselor juga perlu dibuat berasarkan merit atau kelayakan dari segi public confident atau keyakinan masyarakat. Memang susah untuk mencari seseorang yang boleh memiliki kepercayaan masyarakat, dalam pada masa yang sama juga yang beliau pakar dalam lapangan akademik yang dipeloporinya. Calon Naib Canselor ini juga turut pakar dalam profesion lapangan akademik lain dan bukan hanya bidang pengkhususan dirinya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya Naib Canselor itu pakar dalam bidang undang-undang, beliau juga perlu pakar dalam bidang lain seperti politik dan hubungan antara kaum. Antara ahli akademik yang dilihat pakar dalam pelbagai bidang ini ialah Profesor Dr. Aziz Bari, Profesor Dr. Khoo Khay Kim, Profesor Dr.Shamsul Amri Baharuddin dan beberapa nama lagi.

Keyakinan masyarakat turut diterjemahkan dalam bentuk penulisan ahli akademik tersebut di dalam buku mahupun dada akhbar yang mendapat tempat di hati masyarakat. Juga pandangan dan komentar mereka ini yang selalu dicari oleh pihak media apabila timbulnya isu yang melibatkan kepentingan masyarakat dan negara. Oleh kerana itu, tidak hairanlah pelantikan Profesor Dr. Zaini Ujang sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia baru-baru ini mendapat pengiktirafan masyarakat atas kewibawaan dan kepakaran beliau yang juga merupakan seorang pakar air di negara ini. Perlantikan beliau adalah hasil daripada keyakinan masyarakat yang selama ini mengenali beliau sebagai tokoh yang berjasa kepada negara ini

Sekiranya kita menyelongkar sejarah, YM. Professor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid boleh diambil rujukan sebagai seorang tokoh Naib Canselor yang mendapat keyakinan masyarakat terutamanya dalam bidang pengajian tinggi dan ekonomi. Ketokohan beliau memimpin Universiti Malaya selama 20 tahun telah diakui oleh semua pihak. Gelaran Profesesor Diraja telah menceritakan segala-galanya akan kewibawaan beliau sebagai seorang Naib Canselor. Penubuhan UM, Pusat Asasi Sains UM, pengenalan Dasar Ekonomi Baru dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara, kewujudan Lembaga Tabung Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA) adalah merupakan senarai panjang jasa beliau yang disumbangkan kepada negara tanpa terhad kepada bidang akademik semata-mata. Inilah contoh Naib Canselor yang wajar dilahirkan oleh negara kita terutamanya dalam hasrat melahirkan Intitusi Pengajian Tinggi Awam yang disegani di peringkat antarabangsa.

Secara tuntasnya, dihujahkan bahawa pemilihan NC mesti dibuat berdasarkan merit kelayakan yang dinilai oleh Jawatankuasa Pemilihan yang telus dan bukannya kemahuan dan budi bicara pihak Menteri sahaja. Keyakinan masyarakat turut diperlukan dalam membuat sesuatu pelantikan Naib Canselor bagi sesebuah Universiti kerana roh masyarakat penting untuk berada di dalam Universiti dan ini boleh dimulai dengan pelantikan NC. Sejarah pernah menceritakan bagaimana pejuang-pejuang UKM yang dipelopori oleh rakyat tidak berpelajaran, telah mengutip derma dengan membawa tabung-tabung ke kampung-kampung untuk menubuhkan UKM seperti yang kita lihat pada hari ini.

Sejarah ini menjelaskan bahawa gerbang ilmu ini amat dekat di hati rakyat Malaysia. Janganlah kerana kepentingan politik, maka sesuatu keputusan yang dibuat itu memingkirkan rakyat daripada bersuara. Hal ini termasuklah dalam isu pelantikan Naib Canselor ini. Ingatlah bahawa pelantikan NC ibarat pelantikan seorang nakhoda yang berwibawa, untuk memandu sebuah bahtera yang besar dalam mengharungi badai arus globalisasi dan isu-isu keintelektualan. Hal ini tidak lain dan tidak bukan, adalah bertujuan untuk mewujudkan negara Malaysia yang maju dan terkehadapan serta dapat melahirkan mahasiswa sebagai jantung pemikiran negara kita pada masa hadapan.

Hisyamuddin Bin Che Ali

Penulis merupakan Setiausaha Agong Ikatan Studi Islam (ISIUKM)

dan juga seorang pelajar Undang-Undang UKM

http://tunhisyamuddin.bogspot.com

 
Setting Up Blog Using Blogger | Original Template By Loft Real Eestate | Modified By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox